CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, March 2, 2009

Permata di lorong Chow Kit

Kak Fida dan Abg Raja yg menjadi tulang belakang Sinar Salam


Terima kasih buat Ummu Hani yg sudi membuat liputan di Rumah Sinar Salam. Penulisan yg sangat baik dan menepati rasa hati saya. Sangka saya, cuma di ruangan biasa sahaja. Terasa tersangat dihargai, di atas kesudian pihak Anis memberikan ruangan Eksklusif di dalam edisi Februari 2009 untuk kami di sini. Jutaan penghargaan buat Ummu dan Majalah Anis daripada saya yang mewakili mereka. Semoga Allah memberkati kalian.

Kata Ummu, banyak lagi pengisian penting yang tidak dimasukkan di dalam ruangan eksklusif ini. Tapi pada saya, Ummu telah merangkum semua aspek, menilai dari pelbagai sudut, mengetengahkan banyak isu dalam ruangan berjumlah lapan muka setengah ini. Syabas kepada Ummu, penulis muda yang sangat berbakat dan sangat komited.

Mungkin saya juga perlu memberi sedikit penilaian peribadi supaya boleh dikongsi dengan pembaca yg sudi menjengah ke blog ini. Apa yg saya rasa pertama kali diundang ke sana? Perasaan yang bercampur baur, risau, takut, cuak dan pelbagai rasa negatif yg bertandang. Kenapa? Kerana saya tidak pernah terdedah dengan golongan yang bakal saya dekati ini. Seperti juga kalian mungkin, saya membayangkan layanan buruk, sambutan hambar dan suasana tegang yang bakal saya hadapi. Ternyata sangkaan saya meleset sama sekali. Saya hampir tidak percaya, seperti kata Ummu, rupanya ada 'Permata di Lorong Chow Kit'. Saya dirai dengan penuh takzim. Terasa malu kepada diri sendiri, rasa bersalah kepada mereka. Teringat saya kepada tafsir surah 'abasa yang pernah saya telaah di maahad satu ketika dulu, tentang teguran Allah kepada baginda s.a.w. Lalu, saya mula berazam untuk mendekati golongan ini.

5 bulan tugasan yg diberikan oleh JAWI, memberi pengalaman yang cukup bermakna kepada saya. InsyaAllah, saya akan kembali bertugas bermula Mac 2009, selepas rehat selama 2 bulan untuk penyusunan jadual baru. Kali ini, saya mengharapkan lebih daripada sebelum ini. Awal penglibatan saya bersama permata-permata hati di lorong hitam ini, saya berasa amat terkilan dan sangat sedih. Pada saya, mereka yang datang ke sini, hanyalah untuk mendapatkan makanan percuma dan pelbagai bantuan lain daripada pihak JAWI. Tiada riak ikhlas pada raut wajah mereka. Setiap kali habis kelas juga begitu, mereka akan dijanjikan dengan imbuhan-imbuhan yang lebih baik jika mereka tetap menyertai kelas saya pada minggu-minggu berikutnya. Apa semua ni? Sudahlah apa yang saya ajarkan tidak banyak mereka peduli. Disuruh berwuduk sahaja banyak alasan. Itu belum lagi saya saya meletakkan syarat wajib solat sebelum memulakan kelas saya. Disuruh belajar solat, beralasan itu dan ini. Tidak tahu membaca lah, belum sempat mandi hadas lah, kotor lah, bela anjinglah, macam2 lagi.

Ya Allah, saya lupa dengan sirah Junjungan. Saya lupa kepada sejarah perkembangan Islam. Saat Mekah dijadikan tempat untuk mengukuhkan Aqidah, Madinah pula pusat untuk melaksanakan hukum dan Syariat. Ya, saya harus tekankan soal Aqidah terlebih dahulu. Inilah perkara asas yang saya lupakan. Entahkan mereka mengenal Tuhan atau tidak. Entahkan mereka tahu mengucap atau tidak. Kenapa pula saya mengenalkan sejadah kepada mereka jika mereka tidak tahu kepada siapa untuk disujud dan disembah? Kenapa saya bersedih hati dengan penerimaan mereka? Biarlah mereka datang ke sini untuk makan free, atau minum free. Atau mendapatkan hamper yang cuma biskut dan air kotak free. Biarlah ini sebagai umpan, biarlah... At least, mereka akan bertahan selama 2 jam di dalam kelas ini, sebelum mendapatkan hajat utama mereka. Mudah-mudahan mereka akan mendapatkan sesuatu yg lebih berharga sebagai panduan nanti. Ya, cabaran saya sangat besar dalam masa dua jam ini. Bagaimana saya harus mengendalikannya, supaya datang mereka lagi bukan kerana apa-apa yang diberikan percuma, tetapi datang mereka kerana ilmu dan niat suci untuk kembali ke pangkal jalan....

Pada saya, JAWI telah berjaya di peringkat permulaan mendekati golongan ini. Padahal kalau dulu, mereka mendengar nama JAWI sahaja, cukup membuat mereka lari berbatu-batu. Bimbang ditangkap, dibawa ke penjara, disaman di Mahkamah Syariah, terpaksa menghadap Pendakwa Syarie yang bermuka bengis, mendengar keputusan Hakim Syarie yang sudah tentu tidak akan berpihak kepada mereka. Kali ini, JAWI membawa pendekatan baru. Mendekati golongan yang dipanggil 'Komuniti disayangi' dan saya salah seorang yang bertanggungjawab kepada mereka yang menghuni lorong ini.

Alhamdulillah, perasaan sayang kepada saudara-saudara disini terpupuk sedikit demi sedikit. Silibus yang JAWI sediakan hanya sempat saya gunakan pada awal pengajaran sahaja. Setelah berbincang dan memahami keadaan mereka sebenar, saya mula menggunakan pendekatan pengajaran saya sendiri. Saya banyakkan cerita-cerita dan tayangan-tayangan slide dan video-video yang saya kira boleh memberikan pengajaran kepada mereka. Ramai juga antara mereka yang istiqomah menghadiri kelas, menunjukkan sikap benar-benar ingin berubah, bukan semata ingin mendapatkan habuan, seperti sangkaan awal saya. Tetapi sayang, kebanyakan mereka ini ialah yang berada di usia senja. Mereka yang masih muda, ternyata kurang berminat dengan kelas-kelas ini. Selagi tubuh mereka sihat untuk dijadikan punca rezeki yang haram, badan mereka masih boleh diperagakan, jantan-jantan masih sudi melanggan, mereka akan tetap bertebaran dan berpeleseran setiap malam. Maaf jika saya terlalu cabul di sini, tetapi saya rasa pencabulan agama itu lebih serius, berbanding kisah benar saya ini. Saya bertanya kepada salah seorang sukarelawan di sini, pelanggan2 ini, tidak mempunyai isteri kah mereka?Tiada anak kah mereka? Yang menyedihkan saya, ramai di antara mereka mempunyai isteri, bahkan tidak mempunyai sebarang masalah pun dengan isteri mereka. Cuma mereka mempunyai masalah dengan nafsu rakus mereka sendiri. Mereka mengharapkan sesuatu yang dilarang agama melalui isteri mereka. Sebagai contoh, 'liwat' yang terang-terang diharamkan oleh Islam. Mereka bernafsu syaitan ini, sanggup mendatangai pelacur yang bersedia untuk membuat apa sahaja kepada mereka sekalipun diliwat. Mendengar perkara ini, cukup membuatkan saya gerun dan berprasangka dengan kaum yg bergelar lelaki ini. Bagaimana harus saya gambarkan rasa hati saya ini, apabila setiap hari, ada sahaja isteri dan anak2 dihadiahkan dengan HIV yang dibawa pulang oleh suami-suami mereka? Kepada siapa harus saya ceritakan sedih hati saya ini? Kenapa semua perkara ini perlu terjadi, sedangkan kita mampu mengatasinya? Sampai bila? Sampai bila kita akan biarkan statistik HIV dan keberantakan sosial makin bertambah dan menjadi-jadi? Persoalan yang saya sendiri tidak tahu jawapan dan kesudahannya...

0 comments: